fb fb fb fb fb

Isu MP digugurkan, Ahmad Zahid serah budi bicara Speaker Dewan Rakyat

Dr Ahmad Zahid Hamidi

BANTING, 8 Jun- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan budi bicara kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen (MP) Bersatu yang digugurkan keahlian mereka dalam parti, baru-baru ini.

"Kita menyerahkan budi bicara ini mengikut peraturan Parlimen... kepada Speaker (Johari Abdul). Kita tunggu hingga persidangan Parlimen yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini," katanya.

Ahmad Zahid menjawab ringkas ketika ditanya mengenai isu itu kepada pemberita pada sambutan Hari Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini hari ini.

Terdahulu, Johari Abdul mengesahkan belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kekosongan tersebut.

Beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, terutama melibatkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

Enam Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

SITI AISHAH MD ISA