KUALA LUMPUR, 9 Februari- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana banjir di Sarawak dan Sabah.
Beliau menerusi hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada badan-badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO), Rakan NADMA serta komuniti setempat dalam menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk meringankan beban penduduk terjejas.
"Saya berharap pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus menyusun atur gerak kerja-kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat bagi mempercepat pemulihan terutamanya infrastruktur di kawasan terjejas.
"Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir tersebut tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh lama," menurut hantaran itu.
Beliau turut memaklumkan keadaan banyak daerah di Sarawak menunjukkan angka penurunan penduduk terjejas banjir kecuali di daerah Beluru yang berlaku peningkatan penduduk terjejas banjir.
"Setakat laporan yang dikeluarkan pada pukul 12.00 tengah hari ini, hanya terdapat 1,970 keluarga melibatkan 6,269 mangsa yang masih berlindung di 28 buah pusat pemindahan sementera (PPS) berbanding 9,296 mangsa melibatkan 2,742 keluarga pada minggu lalu.
"Manakala di Sabah, terdapat empat (4) daerah yang masih dilanda banjir setakat tengah hari ini melibatkan 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam buah PPS," menurut Ahmad Zahid.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua pihak untuk berhati-hati dan peka dengan keadaan bahawa kemungkinan luruan hujan lebat akan berlaku berikutan Monsun Timur Laut dan dijangkakan akan tamat pada Mac.