BENTONG, 19 Disember- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, akan mengusulkan cadangan kepada Kabinet agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan itu akan dipertimbangkan setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu adalah keputusan daripada permukiman yang diadakan pada hari Sabtu, baru-baru ini.
"Namun, daripada segi pentadbirannya, pengurusan FELDA ini diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri tapi bukan di bawah KKDW, ini dua perkara yang berbeza.
"Jadi, keputusan itu begitu lah untuk memastikan penyelarasan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya," katanya dalam sidang media pada Majlis Perasmian Kompleks Lateks di Agropolitan Chemomoi di sini.
FELDA kini diletakkan di bawah Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF), Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen, antaranya Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), telah mengusulkan agar FELDA dikawal selia oleh KKDW bagi memudahkan koordinasi dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan terus mempergiat usaha untuk meningkatkan pengeluaran getah, termasuk dengan pembinaan tambahan 10 kompleks lateks daripada lima yang sedia ada di seluruh negara.
Beliau berkata pembinaan tersebut akan dilaksanakan di wilayah utara, Johor, dan Pantai Timur.
"Mungkin untuk 2025 ini kita gunakan dana dalaman untuk membina pusat-pusat ini.
"Ia bertujuan menambah pendapatan pekebun-pekebun kecil getah dan kita juga mahu mengurangkan kadar pengimportan lateks ini dari luar negara bagi kegunaan kilang-kilang kita yang mengeluarkan bahan berasaskan getah asli seperti sarung tangan dan pelbagai produk yang lain," katanya.
Bagi perancangan jangka panjang, beliau meminta agar RISDA melaksanakan penanaman semula getah-getah yang telah matang.
RISDA juga komited untuk melaksanakan cadangan pembangunan penanaman getah secara berskala besar bagi meningkatkan pengeluaran hasil getah negara.
Sementara itu, bagi pekebun, Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi telah berjaya melonjakkan hasil pendapatan mereka.
"Memang jauh bezanya dengan getah sekerap... jauh bezanya, lebih sekali ganda lagi dengan kerajinan. Itulah yang kita kena usahakan," kata pekebun kecil, Budin Bedu.
"Bagi saya, memang menguntungkan bagi peserta di sini sebab dari segi pendapatan, ia meningkat dengan ketara. Jika sebelum ini dengan getah sekerap, kita dapat sekitar RM500 ke RM600 dalam dua minggu, tetapi dengan lateks, walaupun dalam seminggu atau empat hari, kita dapat RM600. Ini bermakna pendapatan meningkat sekali ganda," kata pekebun, Fauzi Atan.