fb fb fb fb fb

Ahmad Husaini dilantik sebagai Ketua Pentadbir Parlimen baharu

Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali yang bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada tarikh sama.

Anak jati Bota, Perak itu memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ahmad Husaini memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 24 April 2000 dan pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sebelum ini Ahmad Husaini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp pada 4 Oktober 2023.

"Dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau, diyakini akan dapat menggalas tanggungjawab untuk terus membangunkan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi legislatif yang berkesan, bertanggungjawab serta telus di semua peringkat," katanya.

Warga Parlimen Malaysia turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Husaini atas pelantikan itu serta meluahkan penghargaan kepada Muhamad Zamani atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di Parlimen Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI