KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata banyak perkara yang dibincangkan dan Maimunah turut membawa pelbagai idea serta aspirasi untuk kesinambungan pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.
"Insya-Allah, saya akan terus bersama dalam merealisasikan agenda pembangunan bandar, khususnya dalam menangani isu kesesakan lalu lintas, mempertingkatkan kehijauan bandar serta mempersiapkan Kuala Lumpur menjelang ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau yakin bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan pihak berkuasa tempatan sangat penting dalam memastikan setiap perancangan dan pembangunan berjalan lancar, memberi manfaat kepada rakyat serta mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Sementara itu Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Colombo, Sri Lanka iaitu Badli Hisham Adam di pejabatnya.
"Pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka serta peluang kerjasama yang boleh diperkukuh di masa hadapan dibincangkan dalam pertemuan ini.
"Semoga hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka akan terus berkembang kukuh seterusnya membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama yang bermanfaat dan membawa kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara. Insya-Allah," katanya.