TAWAU, 24 Jun - Ahli Peladang perlu merebut peluang pembiayaan yang disediakan kerajaan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, selain mendapat modal, mereka juga akan dibimbing untuk memajukan perniagaan diceburi.
"Sebenarnya banyak inisiatif kerajaan untuk usahawan-usahawan peladang penternak petani, nelayan bagi mengusahakan sesuatu.
"Apa yang paling utama adalah untuk sentiasa peka dan selalu berani mahu mencuba dengan bantuan ini yang sedikit sebanyak membantu meningkatkan lagi perniagaan atau apa pun yang mereka usahakan," katanya.
Beliau ditemui media selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-15 PPK Kalabakan di sini.
Muhammad Suryady turut menyokong usaha PPK Kalabakan untuk menaik taraf dan membina pasar raya peladang di sekitar Merotai.
Ia bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan barangan keperluan di samping menjadi platform untuk peniaga kecil memasarkan produk.
Sempena mesyuarat itu, Muhammad Suryady turut menyerahkan cek cura Geran Padanan Program Pemerkasaan Usahawan Peladang Tahun 2023-2024 dan Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana.
Cek berkenaan masing-masing bernilai RM415,300 dan RM76,728.