fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen UMNO, BN terikat dengan perjanjian dan akujanji

Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 3 Ogos- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas menyatakan setiap Ahli Parlimen (wakil rakyat) UMNO dan BN terikat dengan perjanjian dan akujanji .

Ia termasuk calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut terikat dengan ganti rugi dan pampasan atau bon sebanyak RM100 juta jika menang PRK tersebut.

"Semua calon-calon BN terikat dengan akuan sumpah dan juga perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan jika meninggalkan parti, bon yang harus dibayar semula bernilai RM100 juta" kata Ahmad Zahid kepada media selepas hadir dalam Program Bertemu Mata di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Jerek di sini.

Beliau juga turut memaklumkan UMNO telah menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi serta pampasan sebanyak RM100 juta kerana menyertai PAS.

Pada program yang sama, Ahmad Zahid menerima borang kemasukan ahli baharu UMNO melibatkan 480 ahli daripada 12 cawangan BERSATU Dewan Negeri (DUN) Nenggiri yang diketuai bekas Timbalan Ketua BERSATU Gua Musang, Che Arrifin Hussin, berkuat kuasa hari ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM