BATU PAHAT, 30 Mac- Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat banjir, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
Pelbagai bentuk bantuan disalurkan, termasuk sumbangan barangan keperluan asas bagi menceriakan hati penduduk yang terkesan.
"Melihat keadaan mereka, kita sendiri rasa tak sanggup. Rumah dimasuki air, dalam keadaan sepatutnya menyambut hari raya dengan gembira, mereka masih berdepan kesukaran. Namun, semangat mereka tetap kuat.
"Sebab itu, saya datang hari ini membawa sedikit buah tangan, ayam dan bahan makanan lain supaya mereka tetap dapat menikmati juadah raya seperti lemang, walaupun dalam keadaan serba kekurangan," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.
Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan mereka memandangkan cuaca tidak menentu sepanjang tempoh peralihan Monsun Barat Daya.