fb fb fb fb fb

Ahli keluarga, jiran boleh didakwa jika tidak lapor kes penderaan

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said)

PUTRAJAYA, 23 Oktober - Kerajaan sedang meneliti Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengambil tindakan terhadap individu yang tidak melaporkan kes penderaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pihaknya gusar dengan tindakan ahli keluarga atau mereka yang rapat dengan mangsa, enggan melaporkan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa.

"Kita bimbang kerana terdapat mangsa yang menjadi mangsa penderaan dalam kalangan keluarga atau jiran, tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Ini merupakan satu kesalahan. Jadi, kita akan perhalusi akta ini bagi memberi kesedaran bahawa ia merupakan tanggungjawab bersama bagi melaporkan jenayah penderaan kepada pihak berwajib", katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi eKlinik 6G Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di sini.

Menurut Azalina, dia bakal bertemu Pesuruhjaya Kanak-kanak, Dr. Farah Nini Dusuki bagi berbincang perkara tersebut bagi memastikan peruntukan itu diguna pakai dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD