KUALA LUMPUR, 28 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebak dan menitiskan air mata ketika bertitah pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan baginda pada Sabtu.
Baginda bertitah pelbagai cabaran dan pengalaman ditempuh sepanjang pemerintahan, termasuk melantik empat Perdana Menteri bagi mengemudi negara.
Al-Sultan Abdullah turut berpesan agar menghentikan politik yang tiada kesudahan serta berpolitik mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka turut menyeru semua rakyat agar terus memberi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong baharu kelak selain menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat.
""Lumrah dunia, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.
"Justeru, sudah sampai masanya untuk saya dan Raja Permaisuri Agong mengundur diri.
"Saya akan berangkat pulang ke Pahang dengan satu perasaan yang sedih dan gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya", titah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Jamuan Negara di sebuah hotel di Ibu negara.
Majlis Jamuan Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, ketika Sembah Ucapan pada Majlis Jamuan Negara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keprihatinan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong terhadap kebajikan rakyat jelata melangkaui batasan biasa antara raja dengan rakyat.
Seluruh rakyat merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh semua sepanjang pemerintahan Seri Paduka.
"Bagi pihak jemaah menteri Kerajaan Madani, kami mengulangi tekad untuk memenuhi tanggungjawab mensejahterakan kehidupan rakyat, memakmurkan negara dan mengamalkan tadbir urus terpuji yang juga menjadi seruan tuanku setiap masa.
"Mewakili jemaah menteri dan seluruh rakyat Malaysia, patik ingin menzahirkan sekalung penghargaan kepada tuanku atas sikap adil, tegas, mesra dan bijaksana sepanjang di tampuk pemerintahan",katanya.