fb fb fb fb fb

Agong yakin hubungan dengan China terus diperkukuh

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 April- Malaysia yakin hubungan dua hala dengan China akan terus diperkukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran geopolitik global.

Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kerjasama dalam integrasi ekonomi, rantaian bekalan, dan ketersambungan serantau merupakan antara fokus utama hubungan dua hala.

Baginda turut menyatakan keyakinan terhadap potensi pelaburan China di Malaysia, khususnya di Hab Kewangan Khas Forest City dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dilihat sebagai antara lokasi strategik utama rantau ini.

Dalam pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping di Istana Negara hari ini, Sultan Ibrahim turut menjemput Kerajaan China untuk memperluaskan pertukaran bahasa dan budaya antara kedua-dua negara.

Baginda menyatakan hasrat untuk menghantar lebih ramai pelajar Malaysia ke China serta mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala menerusi pendidikan dan bahasa.

Terdahulu, Xi tiba di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi yang disambut Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada Oktober 2013.

Menurut Wisma Putra, Xi yang diiringi oleh menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri petang ini,  untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM