KUALA LUMPUR, 27 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat berangkat tiba di tanah air selepas mengadakan lawatan khas selama sehari ke Brunei, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pesawat khas Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pagi tadi.
"Terdahulu, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri ke Hangar Penerbangan Diraja Brunei bersama Sultan Ibrahim," menurut perkongsian itu.
Baginda turut berkongsi beberapa gambar keberangkatan pulang dari Brunei termasuk momen Sultan Hassanal Bolkiah memandu sendiri bersama Seri Paduka Baginda.
Semalam, dilaporkan lawatan khas Seri Paduka Baginda berkenaan mencerminkan hubungan erat serta mesra antara Institusi Diraja Malaysia dengan Brunei yang telah terjalin lebih 40 tahun lepas.