fb fb fb fb fb

Agong terima kunjungan Menteri Luar Arab Saudi

(FOTO ISTANA NEGARA)

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud di Istana Negara.

Menerusi hantaran di Facebook, Istana Negara memaklumkan, dalam sesi menghadap yang berlangsung selama 30 minit bermula pukul 11.00 pagi itu menyentuh berkenaan hubungan dua hala dan persahabatan di antara Malaysia dan Arab Saudi sejak 1957, serta usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi kedua-dua negara.

Turut berangkat ke sesi menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan rasa suka cita terhadap hubungan akar umbi Malaysia dan Arab Saudi yang juga telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek, termasuk sumbangan dan bantuan yang telah dihulurkan kepada Malaysia dalam memerangi penularan wabak COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik," kata hantaran itu.

(FOTO Istana Negara)

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh langkah untuk meningkat dan memperkembangkan lagi kerjasama serta pelaburan di dalam pelbagai bidang.

Selain, bertukar-tukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan kepada kedua-dua negara.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota pasca pandemik COVID-19 yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia dan juga harapan agar jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadah dan urusan haji mereka dengan lancar.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita Arab Saudi merupakan antara negara pasaran terbesar eksport minyak kelapa sawit bagi Malaysia dan terdapat peningkatan permintaan terhadap komoditi tersebut.

"Pada tahun 2021, jumlah eksport minyak kelapa sawit Malaysia ke Arab Saudi bernilai RM1.763 bilion (USD 0.5 billion).

"Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Putera Faisal atas jemputan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan Arab Saudi dilimpahi keamanan, kesejahteraan serta kemakmuran berterusan.

Pada tahun 2021, Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar selepas Emiriah Arab Bersatu dan pasaran eksport ketiga terbesar serta sumber import terbesar bagi Malaysia di antara negara-negara Asia Barat.

Pada tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan Arab Saudi bernilai RM17.56 bilion (USD4.23 bilion).

Media Baharu