fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih

Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur malam tadi.

Seri Paduka berdua tiba kira-kira pukul 8.30 malam diiringi Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta isteri, Datin Seri Rosni Omar.

Majlis santapan berkenaan diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Pada majlis itu, seramai 370 tetamu hadir terdiri daripada anggota lain-lain pangkat ketiga-tiga ketumbukan ATM iaitu tentera darat, laut dan udara.

Majlis itu turut menyaksikan Ucap Selamat Seri Paduka kepada ATM yang diiringi lagu Tentera Benteng Pertahanan Negara sebelum Majlis Santapan Beradat bermula.

Pada majlis itu juga, baginda berdua disajikan dengan tayangan montaj Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, persembahan multimedia dan nyanyian artis tempatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE