fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara hari ini.

Majlis Jamuan Teh Diraja itu merupakan acara khas bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung pada 20 Julai lepas.

Sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda berdua di dalam dewan, lagu Negaraku dimainkan diikuti bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Berangkat sama pada majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama, ialah anakanda Seri Paduka Baginda berdua iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain kira-kira 1,200 tetamu termasuk menteri-menteri kabinet, ahli-ahli parlimen, duta-duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu juga dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk menteri-menteri kabinet, ahli-ahli parlimen, duta-duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

TETITIA YUSOFF