fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri zahir ucapan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri'

FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 9 April- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menurut catatan facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menitahkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk meraikan bulan Syawal ini dengan amalan ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim serta mengukuhkan perpaduan masyarakat.

"Ambillah peluang untuk bermaaf-maafan sesama kita, terutama dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.

"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan kita sesama manusia, pasti ada yang tersinggung atau terasa hati.

"Semoga bulan yang mulia ini meningkatkan perasaan kasih sayang sesama kita", ” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah kedatangan bulan Syawal ini disambut dengan penuh rasa gembira dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan.

"Mudah-mudahan segala amalan yang telah dibuat pada bulan Ramadan yang lalu akan mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya.

"Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga dikurniakan rahmat, keamanan dan kemakmuran yang sempurna lagi berkekalan kepada negara serta semua Bangsa Malaysia", titah Seri Paduka Baginda.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

ROSLINA BINTI DIN