fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri rai hakim dan peserta MTHQA ke-62 pada majlis santapan minum petang

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, 
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan bersama hakim dan peserta-
peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 pada Majlis Santapan
Minum Petang di Istana Negara /Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis santapan yang diadakan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara di sini.

Kira-kira 200 tetamu jemputan dari beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Belgium, Iran, Maldives, Brunei dan Thailand menghadiri majlis itu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seri Paduka berdua turut berkenan bergambar bersama hakim dan peserta MTHQA ke-62.

Pada majlis itu, para tetamu disajikan dengan klip video bacaan al-Quran dan persembahan kumpulan nasyid tempatan iaitu Awla.


(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah
mesra bersama peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA)
ke-62 /Foto BERNAMA) 

Sebelum majlis berakhir, Seri Paduka berdua berkenan mengurniakan cenderamata kepada jemaah hakim MTHQA ke-62 sebagai tanda kenang-kenangan.

MTHQA ke-62, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 24 Oktober, melibatkan penyertaan 36 individu bagi kategori tilawah dari 28 negara termasuk Malaysia.

MTHQA ke-62 diadakan secara fizikal dan turut disiarkan secara langsung di saluran RTM TV1 serta media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bermula pukul 8.30 hingga 11 malam.

Malaysia merupakan tuan rumah bagi penganjuran MTHQA setiap tahun dan pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 dari Kuwait International Prize of Holy Quran.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijangka berangkat ke Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQA ke-62 malam esok. -BERNAMA

Media Baharu