fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri berkenan berbuka puasa bersama penduduk di Raub

RAUB, 29 Mac- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berbuka puasa bersama hampir 1,500 penduduk, di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di masjid berkenaan pada pukul 6.40 petang, diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed.

Berangkat mengiringi baginda berdua, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 60 penerima daripada golongan memerlukan di daerah itu.

Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah di masjid tersebut sebelum berangkat pulang.

(Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih ketika
berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, di sini / Foto BERNAMA)

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, ketika berucap berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua ke daerah itu menyerlahkan kasih sayang selain sifat yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat khususnya pada Ramadan ini. 


"Setiap kali ketibaan Ramadan, Seri Paduka tidak pernah lupa, malah sentiasa meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama rakyat jelata sambil menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan meskipun baginda sibuk menggalas tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong.

Media Baharu