fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri adakan lawatan enam hari ke London

(FOTO BERNAMA)

SUBANG, 9 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas bermula esok hingga 16 Oktober ini.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan 'Athiyatullah.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober ini.

(FOTO BERNAMA)

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua mencerminkan keakraban dengan Baginda Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pada 12 Oktober, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion.

“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengakhiri Lawatan Khas ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober ini,” jelas kenyataan itu.

Media Baharu