fb fb fb fb fb

Agong perkenan calon Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu

Anwar berkata pengumuman mengenai perkara itu dijangka dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan calon Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman mengenai perkara itu dijangka dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

“Premier Abang Johari (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan saya telah kemukakan calon nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu dan itu telah diperkenan dan akan diumumkan dalam satu dua hari ini," kata Anwar ketika mengulas berhubung pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu selepas perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia” di Universiti Malaya di sini.

Anwar turut memaklumkan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara baharu akan disegerakan dan dibincang dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini.

"Tentang Yang di-Pertua Dewan Negara ini kita akan bincang dalam mesyuarat kerajaan malam ini. Kita akan bincang supaya dapat disegerakan pelantikan" kata Anwar.

Artikel Berkaitan:
Negara perlukan perbincangan lebih terbuka & segar pacu kemajuan - PM

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM