fb fb fb fb fb

Agong mulakan pemerintahan sebenar selepas tamat tempoh "bulan madu"

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di seluruh Malaysia.

Baginda bertitah sekiranya semua negeri dapat dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurang dan kesesakan akan lebih terkawal.

"Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri lain ke kawasan wilayah persekutuan.

"Oleh sebab itu, kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandar raya ini yang semakin padat.

"Persoalannya adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?," Titah Sultan Ibrahim pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara, di sini.

Sultan Ibrahim turut menyeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agar sentiasa memantau kebersihan, selain mengingatkan seluruh rakyat Malaysia tidak sesuka hati membuang sampah merata-rata.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah akan memulakan cara pemerintahan baginda yang sebenar selepas tempoh "bulan madu" tamat, kurang dua minggu lagi.

Sultan Ibrahim bertitah akan tegas dalam memikul amanah Raja-Raja Melayu dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.

"Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara.

"Apabila habis tempoh "bulan madu" ini, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar," titah baginda.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM