fb fb fb fb fb

Agong mahu penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 April- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung kelewatan pembinaan tersebut.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini masih dalam pembinaan.

"Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan.

"Dan pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan. Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing," titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasiliti itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI