fb fb fb fb fb

Agong kurnia darjah kebesaran kepada 33 individu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2024

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh menerima pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 33 individu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Mendahului senarai penerima, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat itu turut menyaksikan lapan individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, didahului Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dr Ching Thoo Kim.

Antara penerima PMW yang lain adalah Pakar Perunding Kanan Pembedahan Vaskular dan Ketua Jabatan Pembedahan Am Hospital Kuala Lumpur Dr Hanif Hussein dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Ramlee Yatim.

Selain itu lapan individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), lima individu juga dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Antara penerima KMW adalah Penasihat Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE