KUALA LUMPUR, 27 Januari- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dikurniakan anugerah tertinggi negeri Johor semasa kunjungannya bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghormatan itu merupakan simbolik hubungan persahabatan dan kekeluargaan yang telah lama terjalin antara Prabowo dengan Sultan Ibrahim.
"Kunjungan ini sangat bermakna, dan atas undangan Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia dan kita menerima baik dan sedia maklum Presiden Prabowo diberikan anugerah tertinggi negeri Johor .
"Itu tanda persahabatan kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim.
"Tentunya kita senang dengan perkembangan ini dan menunjukkan keistimewaan keunikan persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku di mana-mana negara lain," katanya pada sidang media khas bersama Presiden Indonesia di Menara Berkembar Petronas di sini.
Dalam pada itu, Prabowo menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas kurniaan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepadanya, hari ini.
Menurutnya, penganugerahan darjah kebesaran itu melambangkan hubungan akrab antara beliau dengan Sultan Ibrahim serta kerabat Kesultanan Johor yang telah lama terjalin.
"Terima kasih sebesar-besarnya atas penerimaan yang begitu besar, penerimaan yang begitu hangat kepada diri saya dan juga delegasi Indonesia. Saya juga mendapat penghormatan besar, diterima daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Hubungan kami sangat lama, mungkin sudah 45 tahun saya kenal dengan Yang di-Pertuan Agong, sewaktu kami masih sama-sama muda dan bersekolah di Amerika Syarikat," katanya.