(Foto Fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 30 Mei- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua yang menyambutnya di negeri Sabah.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Selamat Menyambut Pesta Kaamatan,” menurut status baginda berdua yang dimuat naik di Facebook Istana Negara.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan hari yang bermakna kepada masyarakat Kadazandusun itu akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan sesama kita.
"Harapan semoga perayaan itu akan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kedamaian serta kebahagian kepada semua yang menyambutnya," menurut status tersebut.
Pesta menuai atau lebih kerap dikenali sebagai Pesta Kaamatan disambut oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah hari ini dan esok, sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.
(Foto FB Istana Negara)