KUALA LUMPUR, 19 Februari- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof di Istana Negara, di sini.
Menurut hantaran di Facebook rasmi, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain pertemuan bersama pemimpin negara itu, Yang di-Pertuan Agong juga berkenaan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menurut hantaran lain di Facebook rasmi, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.