fb fb fb fb fb

Agong berkenan rasmi sawah berskala besar ala Sekinchan di Pekan

Al Sultan Abdullah berkenan mengemudi jentera penanaman padi di Skim Merchong yang terletak di KPA Permatang Durian

PEKAN, 22 Januari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan di KPS Permatang Durian, Skim Merchong, Pekan, Pahang.

Turut berangkat mengiringi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis itu, Syarikat Fajar Majestik Sdn. Bhd. yang merupakan rakan strategik kepada salah sebuah syarikat peneraju bawah Program SMART SBB berkolaborasi dengan Koperasi Pesawah Merchong untuk mempertingkatkan produktiviti hasil padi di kawasan tersebut sekali gus menjamin peningkatan pendapatan pesawah.

Fasa Pertama pelaksanaan projek itu melibatkan seramai 84 orang peserta dengan kawasan seluas 168 hektar.

Manakala, jangkaan hasil purata padi adalah sebanyak enam tan metrik per hektar dengan pengeluaran padi bagi keseluruhan kawasan projek adalah sebanyak 27,813.876 tan metrik padi serta pengeluaran beras sebanyak 16,688.325 tan metrik beras semusim. 

Pada masa sama, sekiranya intensiti penanaman ditingkatkan sehingga dua kali setahun, jangkaan hasil pengeluaran beras mencecah sehingga 33,376.65 tan metrik beras yang mampu menampung keperluan bagi anggaran keseluruhan rakyat negeri Pahang seramai 1,642.7 juta orang.

Melalui projek Smart SBB Ala Sekinchan itu juga, varieti benih padi yang akan diusahakan adalah varieti padi MRQ 103 Padi Wangi Malaysia (MARIA atau MARDI Rice Aroma) yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) melalui kacukan antara varieti padi MRQ 89 dan MRQ 50 dengan tempoh tuaian selama 115 hari. 

Dalam majlis itu juga, baginda turut berkenan mengemudi jentera penanaman padi di Skim Merchong yang terletak di KPA Permatang Durian. 

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE