KUALA LUMPUR, 26 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Jen Tan Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Seri Abd Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara Jen Tan Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Sultan Ibrahim turut berkenan bergambar bersama pengurusan tertinggi kementerian sebelum diberikan taklimat di Bilik Mesyuarat Bunga Raya.
Pada sesi taklimat berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengajukan pelbagai soalan serta pandangan mengenai isu-isu pertahanan negara.
Baginda turut bertitah agar perbelanjaan dan perancangan untuk pertahanan negara mestilah dilakukan secara berhemah tanpa membelakangkan soal keselamatan.
Sebelum berangkat pulang Sultan Ibrahim bertemu warga ATM dan MINDEF.