fb fb fb fb fb

Agong berkenan ke Majlis Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Putrajaya malam tadi/BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah, malam tadi.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 8.30 malam di IOI Mall Putrajaya diiringi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Eksekutif serta Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali.

Seri Paduka meluangkan masa hampir dua jam menonton filem sekuel daripada filem Mat Kilau itu bersama barisan pelakon antaranya Fattah Amin, Nur Fazura Sharifuddin dan Nur Heliza Helmi.

Filem terbitan Studio Kembara yang diarahkan Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md Dali itu bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 11 Januari.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaimain.

ROSLINA BINTI DIN