fb fb fb fb fb

Agong berangkat ziarah mangsa ribut di Rompin

(FOTO IG ISTANA NEGARA)

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi dan menyantuni seorang mangsa ribut di Kampung Rantau Panjang, Rompin, hari ini.

Keprihatinan baginda terserlah, apabila berangkat turun padang bagi meninjau sendiri kerja baik pulih rumah yang rosak akibat kejadian ribut.

Menerusi satu hantaran di Instagram Istana Negara, Al-Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berangkat tiba di rumah Mohd Zaki Embong, pada 12.15 tengah hari, turut berkenan menyantuni penduduk kampung yang menunggu sejak pagi untuk bersua dengan Seri Paduka.

"Mohd Zaki semasa ditemui menjunjung kasih kepada keprihatinan Seri Paduka mencemar duli ke rumahnya yang kini dalam proses baik pulih selepas bumbung di ruang tamu dan beranda diterbangkan ribut pada 5 petang, 2 Oktober lalu.

"Isterinya Nor Hayati Ismail yang merupakan pekerja am di sebuah institusi pendidikan berkata kejadian berlaku semasa dia baru tiba di rumah dari tempat kerja, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari kediamannya.

"Nor Hayati berkata walaupun kerugian, beliau bersyukur kerana tiada ahli keluarganya cedera terutama anak bongsu Ahmad Sufian yang semasa kejadian berada di rumah kerana tidak sihat,"menurut hantaran tersebut.

Pada kunjungan ke Rompin, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 143 penerima yang antaranya terdiri daripada asnaf, ibu tunggal dan saudara baharu dari enam kampung pada majlis ringkas di Dewan Serbaguna Leban Chondong.


(FOTO IG ISTANA NEGARA)


(FOTO IG ISTANA NEGARA)

Media Baharu