
AYER KEROH, 10 Mac– Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mula dikreditkan hari ini memberi ruang kepada para penerima untuk melengkapkan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
- Penerima menghargai inisiatif Kerajaan MADANI mengawalkan bayaran STR Fasa 2.
- Suri rumah dan pesara menggunakan STR untuk keperluan raya, termasuk barang basah, kuih raya dan pakaian anak.
- Perdana Menteri umum pelaksanaan awal STR Fasa 2 melibatkan 5.2 juta penerima dikreditkan secara berperingkat.
Rata-rata penerima yang ditemui menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan mengawalkan bayaran bantuan tersebut.
Hasil tinjauan RTM di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, Melaka, mendapati golongan suri rumah dan pesara kerajaan antara yang paling awal mengambil peluang untuk mula membeli-belah keperluan musim perayaan.
“Saya merancang untuk menambah sedikit dekorasi rumah dan membeli baju raya anak-anak. Sejujurnya agak mencabar apabila melihat harga barang mula meningkat di pasar raya sekarang. Dengan adanya STR ini, ia sangat membantu untuk membeli barang basah dan bahan buat kuih raya,” kata Farhana Rahim, suri rumah.
“Alhamdulillah, STR ini sangat membantu. Kebetulan bantuan sudah dikreditkan hari ini, jadi dapatlah saya menambah sedikit peruntukan bagi persiapan baju raya dan keperluan lain,” ujar Azmi Mohamad, pesara kerajaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran STR Fasa 2 melibatkan 5.2 juta penerima diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai 10 Mac.