fb fb fb fb fb

Agensi kerajaan disaran lebihkan projek untuk kontraktor G1

Ahmad Maslan (dua kiri) pada Mesyuarat Agung Tahunan PERKOBF Malaysia Cawangan Negeri Johor kali ke-12/2024 di Johor Bahru, hari ini/RTM

JOHOR BAHRU, 12 Januari- Agensi kerajaan disarankan untuk memperbanyakkan projek infrastruktur serta mengadakan program khas dan melaksanakan undian projek bagi kontraktor kelas G1, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelasnya, cadangan itu bertujuan untuk mengatasi isu kekurangan projek yang diterima oleh kontraktor kelas G1, selain memastikan kerja-kerja diagihkan secara adil.

Ahmad berkata pihak berkenaan juga boleh memecahkan projek besar kepada skop lebih kecil agar kontraktor G1 dapat mengambil bahagian.

"Jika mereka boleh memecahkan kerja daripada kontraktor besar kepada kontraktor kecil, ini akan memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor G1. Saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan mengadakan program khas untuk membina lebih banyak dewan kampung, balai raya, surau dan projek yang sesuai untuk kontraktor kelas G1," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKOBF Malaysia Cawangan Negeri Johor kali ke-12/2024 di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat 67,300 kontraktor G1 yang berdaftar di seluruh negara termasuk 5,452 kontraktor di Johor.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM450 juta untuk memperkasa kontraktor kelas Bumiputera daripada G1 hingga G4.

SITI AISHAH MD ISA