fb fb fb fb fb

Aerotrain KLIA kembali beroperasi 1 Julai ini

Aerotrain merupakan sistem pengangkutan dalaman utama KLIA sejak beroperasi pada 1998, dan digantung perkhidmatan pada Mac 2023 kerana mengalami kerosakan/Foto MOT

SEPANG, 21 Jun – Penantian orang ramai terhadap perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal berakhir apabila sistem itu kembali beroperasi sepenuhnya mulai 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengoperasian semula tren itu dijangka bermula pukul 10 pagi selepas lebih setahun dihentikan bagi kerja naik taraf infrastruktur kritikal.

“Ramai rakyat Malaysia bertanya bilakah perkhidmatan Aerotrain ini akan kembali. Sukacita saya maklumkan, projek naik taraf ini kini telah siap dilaksanakan.

"Beberapa ujian akhir sedang dijalankan, termasuk ujian Emergency Response (EP) secara langsung bersama pasukan keselamatan dan kecemasan,” katanya pada sidang media selepas meninjau perkhidmatan itu di sini hari ini.

 

 

Menurut beliau, dua set tren akan beroperasi secara bergilir, manakala satu lagi kekal sebagai tren simpanan.

Aerotrain baharu ini terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti 270 penumpang setiap perjalanan.

Meskipun Aerotrain kembali beroperasi, perkhidmatan bas pengantara tetap dikekalkan buat sementara waktu sebagai pelan mitigasi bagi menjamin kelancaran dan keselamatan penumpang.

“Walaupun Aerotrain kembali, sistem sokongan tetap dikekalkan buat masa ini sebagai langkah memastikan operasi yang lancar dan selamat,” katanya.

Anthony berkata, pengoperasian semula Aerotrain adalah penting menjelang beberapa acara besar negara termasuk Sidang Kemuncak ASEAN hujung tahun ini dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

"Tahun ini sangat penting kerana Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN. Akan ada lebih banyak mesyuarat ASEAN berlangsung dalam beberapa bulan akan datang sehingga hujung tahun, termasuk satu lagi sidang kemuncak yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

"Manakala menjelang tahun 2026, ia menjadi tahun yang besar buat pelancongan negara kerana kita akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Dalam lawatan itu, wakil media turut berpeluang menaiki tren baharu tersebut yang dilengkapi sistem operasi lebih moden dan selesa.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN