fb fb fb fb fb

AEC 2026-2030 dijangka gandakan ekonomi digital sehingga ASD2 trilion

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun – ASEAN diyakini mampu menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 berasaskan kestabilan politik, pasaran serantau yang kukuh serta prinsip keterangkuman dan kemampanan. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berdaya saing.

Menurut beliau, melalui Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030, rantau ini berhasrat melipatgandakan ekonomi digitalnya kepada ASD2 trilion menjelang tahun 2030.

“Pelan Strategik AEC menekankan kepada pembentukan kerangka ekonomi digital yang berpandangan jauh ke hadapan, yang dijangka dapat menggandakan ekonomi digital ASEAN kepada ASD 2 trilion menjelang tahun 2030.” katanya.

Tambah beliau, pelan strategik itu bukan sahaja menyasarkan integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam, tetapi turut memberi tumpuan kepada inovasi, kelestarian dan keterangkuman.

“ASEAN turut menawarkan persekitaran yang stabil untuk pelbagai perniagaan berkembang maju. Semua ciri ini amat diperlukan dalam perniagaan dan pelabur, namun sukar untuk ditiru oleh rantau lain.” katanya.

Beliau berucap semasa majlis Regional Socialisation of the ASEAN Economic Community (AEC) Strategic Plan 2026–2030 of the ASEAN Community Vision 2045 yang berlangsung di Dewan Perdana, MITI, Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu turut disertai hampir 600 peserta dalam dan luar negara secara fizikal dan maya, termasuk wakil negara anggota ASEAN, rakan dialog, sektor swasta, akademik dan masyarakat sivil. 

Pelan Strategik AEC 2026–2030 merupakan kesinambungan kepada Pelan Induk AEC 2025.

Pelan itu menjadi fasa pertama ke arah merealisasikan ASEAN Community Vision 2045, yang ditandatangani pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, 26 Mei lalu.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ