fb fb fb fb fb

'Adu Buli': Platform aduan buli di sekolah

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Januari- Sebarang aduan mengenai kejadian buli di sekolah perlu disalur menerusi platform ‘Adu Buli’.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, platform disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) itu memudahkan tindakan diambil secara langsung.

"Kita mohon aduan ini dibuat di bawah 'Adu Buli', di bawah KPM dan prosedur ini lebih jelas kerana kita akan maklumkan terus kepada pengadu apa yang tindakan telah pun diambil.

"Kita minta untuk diselesaikan mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang telah pun kita keluarkan dan melibatkan proses keseluruhan memberikan keadilan kepada pihak autoriti khususnya" katanya menerusi Sidang Media Pengoperasian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini.

Fadhlina menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai buli ala komando yang masih berlaku di sekolah berasrama penuh.

Pihak sekolah dan pengurusan sekolah turut diingatkan tidak menyembunyikan sebarang kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Pihaknya mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat kes itu.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata peratusan calon hadir menduduki peperiksaan SPM 2024 di seluruh negara mencecah 97 peratus.

Ketika ini, KPM sedang dalam proses mengemas kini jumlah keseluruhan kehadiran.

Ini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon belum mengesahkan kehadiran.

"Ini adalah kehadiran yang baik. Maknanya, kita masih dalam proses untuk mengemas kini dan mengenal pasti kehadiran mereka yang belum disahkan.

"Ada lebih kurang 10,000 lagi yang belum dikenal pasti. Jadi, kita harap kehadiran ini dapat dipertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir menduduki peperiksaan SPM," katanya.

Tambahnya, terdapat calon berkeperluan khas di setiap negeri yang turut menduduki SPM termasuk dua calon berusia 63 tahun di Negeri Sembilan.

Seramai 5,780 petugas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan turut dilantik membantu sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Dalam perkembangan lain, KPM sedang menyelaras semula keperluan pendidikan anak-anak yang terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Jelas Fadhlina, kesemua anak-anak itu selamat bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita sedang menyelaras semula kerana ada anak-anak yang terlibat, terus kekal di rumah-rumah selamat bawah jagaan JKM.

Kita akan selaraskan semula pendidikan mereka melihat kepada umur dan kesesuaian mereka untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah-sekolah KPM," kata Fadhlina.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM