fb fb fb fb fb

Adakan PRU DUN Johor selari dengan aspirasi rakyat- Annuar Musa



JOHOR BAHRU, 29 Januari- Tindakan kerajaan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) DUN, dilihat selari dengan aspirasi rakyat negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata ia dapat dilihat menerusi kajian dan analisis sentimen rakyat, yang dilakukan kementerian menerusi pelbagai platform.

Beliau berkata menerusi kementeriannya, kerajaan pusat juga menggunakan teknologi untuk membuat analisis sentimen secara harian.

“Analisis sentimen rakyat memang kita lihat, supaya kerajaan berbuat sesuatu yang selaras dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

"Data boleh dinalisis dan memang ada inisiatif dan kaedah berbuat demikian untuk kita baca kehendak rakyat, setiap pendapat netizen di media sosial kita kena ambil iktibar dan sentimen rakyat jangan dipandang rendah.

“Di Johor, apa yang Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) lakukan macam saya katakan tadi, indikator analisis sentimen menunjukkan ia (PRU DUN Johor) selari dengan aspirasi rakyat,” katanya selepas majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat di sini, malam semalam.

Justeru, Annuar yakin bahawa masyarakat Johor akan menyempurnakan hak mereka dalam PRU DUN akan datang.

Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Hasni, untuk menerajui kerajaan negeri dengan mandat baharu. 

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Annuar berkata kepimpinan Hasni tidak boleh dinafikan berdasarkan rekod prestasi beliau yang baik.

Prestasi baik ditunjukkan Hasni dalam memimpin kerajaan negeri telah terbukti, sehingga diterima positif bukan sahaja oleh Istana Johor, tetapi rakyat Johor.

"Harapan saya beliau kembali memimpin kerajaan negeri dengan mandat yang lebih besar daripada rakyat dalam PRU DUN Johor nanti” katanya.

Media Baharu