
KUCHING, 17 Mac – Golongan belia digesa merebut peluang mengikuti program kemahiran yang ditawarkan Akademi Binaan Malaysia (ABM).
- Jaminan kebolehpasaran tinggi: 100% graduan ABM mendapat pekerjaan dalam industri pembinaan.
- Nasihat mendapatkan kemahiran dahulu kerana kemahiran tinggi membawa peluang gaji lebih baik; tanpa kemahiran hanya pekerjaan bergaji rendah.
- Terdapat 58 kursus TVET pembinaan seluruh negara, 41 daripadanya disediakan di Sarawak.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memberi jaminan bahawa program latihan berkenaan menawarkan kebolehpasaran tinggi dengan 100 peratus graduan akademi itu mendapat pekerjaan dalam industri pembinaan.
Beliau yang juga ahli majlis TVET negara berkata perkara itu dimaklumkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan dalam mesyuarat baru-baru ini bahawa graduan ABM bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mempunyai kebolehpasaran pekerjaan 100 peratus dan sangat diperlukan dalam industri pembinaan.
“Beliau turut menasihatkan supaya tidak terus bekerja tanpa kemahiran, sebaliknya mendapatkan kemahiran terlebih dahulu. Ini kerana mereka yang mempunyai kemahiran tinggi berpeluang memperoleh gaji lebih tinggi, manakala tanpa kemahiran, kebiasaannya hanya mampu mendapatkan pekerjaan bergaji rendah yang boleh menjejaskan pendapatan pada masa hadapan,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad berkata demikian kepada media pada program perjumpaan bersama Jabatan Kerja Raya JKR Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kuching hari ini.
Secara keseluruhan terdapat 58 kursus TVET dalam bidang pembinaan ditawarkan di seluruh negara dan 41 daripadanya disediakan di Sarawak.