ABM perkenal kursus baharu, kurang penggunaan buruh asing

Datuk Seri Dr Ahmad Maslan

KUCHING, 17 Mac – Lima kursus baharu berkemahiran tinggi bakal diperkenalkan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) dalam usaha menarik lebih ramai belia tempatan menyertai bidang pembinaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha tingkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta membolehkan gaji lebih tinggi.
  • Sehingga Februari 2025, 1,376 pelatih mengikuti latihan kompetensi di ABM, manakala 1,255 adalah personel binaan.
  • Sejak 2023 hingga 2025, 5,927 pelatih belia dan 13,699 personel binaan menamatkan pengajian; ABM Sarawak catat 365 dan 837 graduan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, inisiatif tersebut dilihat mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing.

“Jika mereka tidak mempunyai kemahiran dan gaji yang ditawarkan rendah, sektor pembinaan tidak akan menjadi pilihan mereka. Oleh itu, cara untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing adalah dengan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan supaya mereka boleh memperoleh gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau demikian kepada pemberita pada program perjumpaan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad turut memaklumkan bahawa seramai 1,376 pelatih sedang mengikuti latihan kompetensi kemahiran belia di Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara setakat Februari 2025. Manakala 1,255 lagi merupakan personel binaan.

Sejak 2023 hingga 2025 pula seramai 5,927 pelatih belia dan 13,699 personel binaan telah menamatkan pengajian di seluruh negara. Di ABM Sarawak pula merekodkan seramai 365 graduan belia dan 837 graduan personel binaan.