KUALA LUMPUR, 22 September - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung tindakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin yang memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli meminta Jawi menyiasat tindakan itu yang termasuk dalam kesalahan jenayah Qazaf.
"Tujuan kami buat laporan ini juga agar memastikan kesalahan berkaitan menuduh seseorang itu melakukan kesalahan zina dan liwat itu tidak dinormalisasikan dalam masyarakat di sosial media dan sebagainya.
"Ini adalah tuduhan yang agak berat di sisi Islam adalah perkara yang bukan mudah dibuktikan dari segi syarak perlu saksi empat orang dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.
Sementara itu, Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim berkata perbezaan fahaman dan ideologi politik tidak seharusnya sehingga menghina dan memfitnah yang akhirnya akan menyuburkan sifat kebencian dalam masyarakat.
"Kita boleh berbeza padangan politik, masyarakat boleh mengkritik waima Perdana Menteri pun, kita boleh berbeza pandangan fikirah politik kita tapi kita suburkan politik yang matang, sejahtera elakkan sampai tahap menfitnah apalagi membabitkan Qazaf," katanya.
Laporan tersebut dibuat ABIM berhubung hantaran di akaun Facebook milik Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang menyebut beberapa perkataan jelik terhadap Perdana Menteri.
Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan menyatakan Qazaf bermaksud membuat pernyataan palsu terhadap mana-mana orang.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.