fb fb fb fb fb

Abdul Hadi, Norjannah johan qari, qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1445H

Abdul Hadi Che Abd Halim menerima kurniaan hadiah daripada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA NERUS, 1 Mac- Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1445 Hijrah melabuhkan tirainya malam tadi dengan menobatkan Abdul Hadi Che Abd Halim dan Norjannah Abd Rahman sebagai johan qari dan qariah.

Lebih manis, Abdul Hadi menjulang kejuaraan buat kali ketiga selepas meraih gelaran johan pada tahun lalu dan 2018.

Abdul Hadi, dari Kuala Terengganu memperoleh markah tertinggi bagi kategori qari iaitu berjumlah 92.66 mata, dan juara qariah pula Norjannah dari Setiu memperolehi markah 86.16 mata.

Norjannah pula bakal mencabar kakak kembarnya yang merupakan juara bertahan qariah kebangsaan tahun lepas, Nor Hidayah Abd Rahman sekali gus bakal menampilkan dua qariah Terengganu pada Majlis Tilawah peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada bulan Mei nanti.
 
"Insya-Allah harapan ke peringkat kebangsaan adalah bila berada di atas pentas musabaqoh itu, dapat membaca dengan tenang,dapat menyebut huruf al-Quran dengan fasih,"kata Abdul Hadi.

"Ini kali yang ke enam di peringkat negeri, harapan saya untuk ke peringkat kebangsaan semoga saya dapat yang lebih baik lagi dari yang semalam,"kata Norjannah.

Abdul Hadi dan Norjannah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 beserta piala iringan dan piala pusingan.
 
Selaku johan qari dan qariah, mereka bakal mewakili Terengganu ke Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual diadakan pada 23 hingga 28 Mei 2024 di Kuantan, Pahang.
  
Sementara itu, di kedudukan tempat kedua dan ketiga kategori qari ialah wakil daerah Marang, Mohd Hafas Ali dengan 88.99 mata dan wakil Kuala Terengganu Abdul Alim Zakaria dengan 88.33 mata.
 
Manakala bagi kategori qariah tempat kedua di sandang wakil Dungun, Siti Nasuha Ali dengan 84.33 mata dan ketiga, qariah mewakili Kuala Terengganu Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi.
 
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang.
 
Turut berkenaan berangkat, baginda Tuanku Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
 
Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda berdua, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
Pada majlis tilawah yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus itu, turut dipertandingkan  hafazan Al-Quran peringkat negeri melibatkan kategori 10 juzuk, 20 juzuk dan 30 juzuk lelaki dan wanita.

0103 TILAWAH GANU2 Norjannah Abd Rahman menerima kurniaan hadiah daripada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE