fb fb fb fb fb

Ab Rauf cadang Melaka dipilih tuan rumah pelancaran TMM 2026

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh bersama barisan media yang juga pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah sempena Melaka Explorace 2024 di MITC, Ayer Keroh hari ini/Foto FB Ab Rauf

AYER KEROH, 6 Oktober - Melaka sedia dipilih sebagai tuan rumah untuk pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf mencadangkan agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan cadangan itu sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) yang akan diadakan di Melaka tahun hadapan.

“Saya memohon cadangan ini dibawa ke peringkat persekutuan memandangkan tahun hadapan, 151 peserta daripada seluruh dunia yang mewakili menteri pelancongan akan hadir di Melaka.

"Cadangan saya ialah kita mohon kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan pelancaran Tahun Melawat Malaysia diadakan di Melaka sempena dengan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah sempena Melaka Explorace 2024 di MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.

Katanya, Tahun Melawat Melaka akan tamat pada 31 Disember ini tidak akan diteruskan pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, pelbagai program berkaitan dengan aktiviti pelancongan akan diteruskan sebagai sokongan kepada WTD dan WTC.

Dalam pada itu, pertandingan mencari harta karun Melaka Explorace akan diteruskan pada tahun hadapan sempenan pengiktirafan negeri itu sebagai tuan rumah WTD dan WTC yang akan berlangsung pada 25 September tahun hadapan.

GRACE AISYAH KEDAYAN