PRAI, 16 November– Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bakal menerapkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkasa sukarelawan Skuad Antidadah dalam menghasilkan kandungan berkaitan isu dadah.
- AADK akan terapkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk memperkasakan sukarelawan Skuad Antidadah menghasilkan kandungan kreatif anti-dadah.
- Latihan khusus dalam kemahiran AI diberikan bagi mengubah konsep latihan dan tingkatkan keupayaan ahli skuad.
- Penggunaan AI mensasarkan penghasilan video, poster dan bahan kreatif lain untuk kempen pencegahan dadah.
- Ahli skuad dilihat sebagai ejen AADK untuk menyebarkan mesej antidadah secara lebih berkesan.
- Terdapat sekitar 200,000 ahli Skuad Antidadah berdaftar di seluruh negara sehingga kini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, menerusi kemahiran itu, setiap sukarelawan dapat menghasilkan kandungan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dalam menangani isu penagihan dadah.
“Tahun ini, kami berhasrat untuk memperkasakan ahli skuad kami dengan mengubah konsep latihan. Kami memberikan latihan khusus dalam Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI). Penggunaan AI ini amat penting untuk menyampaikan ilmu kepada ahli skuad kami agar mereka dapat menggunakannya dalam kempen pencegahan dadah.
AI akan digunakan untuk menghasilkan kandungan anti-dadah yang kreatif, seperti video, poster, dan sebagainya. Kami berharap ahli skuad ini dapat bertindak sebagai ejen atau wakil AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan menyebarluaskan mesej antidadah dengan berkesan,” kata Zainudin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi SKUAD Antidadah Peringkat Kebangsaan 2025, di sini.
Jelas beliau, terdapat 200,000 ahli Skuad Antidadah berdaftar di seluruh negara, setakat ini.