KAJANG, 22 Ogos- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan inisiatif Kampung Angkat Bebas Dadah (KABD), dengan sasaran satu negeri, satu KABD di seluruh negara.
Projek rintis itu melibatkan kerjasama komuniti setempat dalam membanteras penagihan dan penyalahgunaan dadah.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, ia dilaksana AADK negeri bersama kepimpinan masyarakat setempat termasuk ketua kampung dan penghulu, bagi memberikan sokongan komuniti kepada klien.
"Kita menyasarkan untuk melihat hasil dalam tempoh enam bulan. Hasil awal mungkin tidak mencapai 100 peratus. Namun, sekurang-kurangnya 10 peratus pencapaian sudah memadai. Antara hasil yang disasarkan ialah penyediaan profil komuniti.
Di sesebuah kampung, kita akan mengenal pasti serta membuat profil individu yang mempunyai masalah keluarga, terlibat dengan dadah atau isu sosial lain yang berkaitan. Usaha ini turut melibatkan kerjasama seluruh agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain-lain pihak berkaitan," kata Datuk Ruslin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat AADK, di sini.
Tambahnya, menerusi inisiatif sama, agensi itu turut memberikan perhatian khusus kepada komuniti di kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli bagi memastikan komuniti itu tidak terpinggir daripada menerima perkhidmatan pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah oleh AADK.