fb fb fb fb fb

AADK buka sesi lawatan khas untuk keluarga klien sempena Aidilfitri

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 April- Sempena sambutan Hari Raya Aidifitri 2024/1445H, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuka sesi lawatan khas untuk keluarga atau penjaga klien AADK yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI), di semua 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.

Lawatan dibuka pada 15 April hingga 19 April 2024 di PUSPEN di negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Manakala, bagi negeri Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah; lawatan dibuka pada 14 April hingga 18 April 2024.

Lawatan Keluarga bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi selain membolehkan keluarga melihat sendiri perkembangan kepulihan Klien yang mengikuti Program RPDI AADK.

Lawatan juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong kepulihan klien.

Keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi Lawatan Keluarga perlu menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing menerusi panggilan telefon; mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada pegawai berkenaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi PUSPEN berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Sesi Lawatan Keluarga atau menghubungi Talian Hotline AADK di talian 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE