JOHOR BAHRU, 13 Mac- Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dicadang menjadi lokasi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bagi murid terjejas banjir di Johor.
Perbincangan akan dibuat dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Johor berhubung perkara berkenaan.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan pascabanjir di
Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru)
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Johor bagi mengenalpasti sekolah-sekolah di kawasan terkesan banjir yang terjejas rangkaian telekomunikasi.
Langkah ini bagi memastikan masalah rangkaian selesai apabila sesi persekolahan bermula minggu depan.
Setakat ini, 80 daripada 160 menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir di negeri ini sudah dihidupkan semula.
"Tapi setakat semalam lebih daripada separuh telah berjaya kita hidupkan semula cabaran mungkin bagi kawasan seperti daerah Batu Pahat yang mana pada waktu ini masih terkesan akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pascabanjir di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.
Sementara itu, 40 lokasi menara telekomunikasi termasuk stesen dan pencawang di seluruh negara sudah melalui proses ‘site-hardening’, supaya rangkaian masih boleh diakses walaupun terjejas banjir.