fb fb fb fb fb

99 peratus ikan asing di sungai Lembah Klang ancam populasi ikan asli

Lebih 600 ikan asing berjaya ditangkap oleh lebih 200 komuniti dan pelbagai agensi dalam program memburu ikan asing di di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil/Foto FB DOF

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Jabatan Perikanan Malaysia mendedahkan sebanyak 99 peratus habitat ikan asing hidup dalam sungai sekitar Lembah Klang.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata lebih membimbangkan lima sungai utama di Lembah Klang diceroboh ikan asing secara kekal.

Antaranya dijarah ikan tilapia hitam, ikan bandaraya, keli afrika, lampam jawa serta ikan jaguar. Ini sekali gus mengancam hidupan air asli seperti ikan puyu, kelah, udang galah, jelawat, baung dan lomah.

Oleh itu, program 'Memburu Ikan Asing' dilakukan bagi mengekang populasi spesis ikan asing yang menjejas kehidupan ikan asli dalam ekosistem perairan negara.

Operasi yang dijalankan di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil berhasil menangkap sehingga 600 ekor ikan asing, hanya dalam tempoh masa dua jam disertai lebih 200 komuniti dan pihak agensi buat julung kalinya.

"Melepaskan ikan asing dalam ekosistem sama ada secara sengaja atau tidak, ia tidak akan membantu meningkatkan biodeversiti ikan asli kita.

"Jadi usaha untuk buru ikan asing ini bertujuan untuk mengimbangi ekosistem kita bagi membolehkan perairan kita dapat menempatkan kembali ikan asli," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Memburu Ikan Asing Bersama Komuniti di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Jabatan Perikanan juga mewujudkan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (sungai dan tasik) bagi Wilayah Persekutuan serta dalam proses menambah baik peraturan serta kaedah sedia ada di lain-lain negeri bagi memperkukuhkan pengurusan perikanan darat di Malaysia.

Katanya, pada tahun lalu pihaknya menjalankan kajian inventori dengan melakukan pelepasan sebanyak 80,000 ekor benih termasuk induk ikan tempatan iaitu ikan lampam sungai, terbul dan baung di enam sungai sekitar Lembah Klang.

Sungai itu ialah Sungai Batu, Sungai Gombak, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Klang dan Sungai Kuyoh.

"Hasil inventori mendapati sebanyak 817 ekor ikan ditangkap yang mana hanya enam ekor merupakan ikan asli iaitu puyu dan haruan.

"Selebihnya iaitu 811 ekor ikan ialah spesies asing bagi jenis bandaraya, tilapia hitam dan keli Afrika," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN