9,800 kuota PISMP di IPG

Wong Kah Woh/ BERNAMA

KAJANG, 31 Mac – Sebanyak 9,800 kuota pengambilan dibuka bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi kemasukan tahun 2026 di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengambilan PISMP meningkat berbanding sekitar 5,000 hingga 6,000 pada dua tahun sebelumnya.
  • Peningkatan pengambilan bermula tahun 2025 untuk menampung keperluan tenaga pengajar mengikut perkembangan sistem pendidikan.
  • Kuota dibuka merangkumi semua aliran termasuk SK, SJKC dan SJKT dengan pengagihan berdasarkan unjuran keperluan masing-masing.
  • Lepasan SPM 2025 yang layak digesa memohon segera kerana tarikh tutup permohonan kemasukan 2026 pada hari Khamis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata kuota itu menyaksikan peningkatan berbanding sekitar 5,000 sehingga 6,000 pengambilan pada dua
tahun sebelumnya.

“Jika kita melihat tahun-tahun sebelum 2023, jumlah pengambilan PISMP secara keseluruhan bagi semua aliran adalah sekitar 5,000 hingga 6,000 orang.

“Namun, mulai tahun 2025, kita telah meningkatkan pengambilan PISMP bagi menampung keperluan semasa di lapangan.

“Tahun ini, pengambilan dibuka kepada kira-kira 9,800 calon merangkumi semua aliran, termasuk untuk sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

“Setiap aliran diberikan jumlah pengambilan mengikut unjuran keperluan masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan bersempena dengan pengumuman keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, di sini hari ini.

Pertambahan jumlah pengambilan calon PISMP dilaksanakan bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar selaras dengan perkembangan semasa sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu lepasan SPM 2025 yang memenuhi kriteria untuk melanjutkan pengajian dalam program itu dan membuat permohonan segera susulan permohonan kemasukan bagi tahun 2026 akan ditutup pada Khamis ini.