BACHOK, 19 September - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan mengarahkan 980 pegawai, anggota dan sukarelawan supaya bersiap siaga menghadapi banjir di negeri itu apabila bermulanya Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarahnya Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, daripada jumlah itu 920 adalah terdiri daripada anggota dan sukarelawan yang ditempatkan di setiap daerah.
Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan 104 kenderaan terdiri daripada kenderaan laut dan darat, 60 buah bot penyelamat jenis aluminium, bot fiber, 'rigid inflatable boat’ dan bot amfibia.
Manakala selebihnya adalah melibatkan kenderaan darat yang terdiri daripada lori serta pacuan empat roda.
"Jumlah keseluruhan logistik sekarang ini kita ada dalam 104 kenderaan termasuk bot kenderaan kenderaan darat air, yang itu kita akan gunakan untuk anggota kita.
"Untuk di negeri Kelantan ini kita ada 920 orang, yang sekarang ini kita sudah mula buat latihan latihan di setiap daerah. Maknanya setiap daerah ada latihan cuma kadang-kadang ada yang bergabunglah," kata Adzhar.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan MTL di Pantai Irama, di sini.
Adzhar berkata bagi menghadapi MTL pada tahun ini pihaknya melakukan persediaan awal dengan memberi latihan kepada pegawai, anggota serta sukarelawan yang akan terlibat dengan banjir.
Katanya, pihaknya juga mengumpulkan logistik lebih awal selain mengenal pasti kerosakan dan membaiki aset sekiranya ada yang bermasalah.