98 peratus gerai bazar Ramadan di Johor capai tahap kebersihan baik

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, (tiga, kiri)/Foto BERNAMA

PONTIAN, 24 Februari – Sebanyak 808 gerai bazar Ramadan di Johor telah diperiksa setakat ini dengan 98 peratus daripadanya didapati berada pada tahap kebersihan yang baik dan memuaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 808 gerai bazar Ramadan diperiksa dan 98 peratus berada pada tahap kebersihan yang baik dan memuaskan.
  • Kebersihan dan keselamatan makanan diberi keutamaan untuk memastikan juadah yang dijual selamat dimakan.
  • Satu aduan kebersihan diterima dan siasatan lanjut telah dijalankan oleh pihak berkuasa.
  • Tiada SOP tambahan dikenakan kepada peniaga atau pengunjung bazar Ramadan setakat ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon berkata, elemen kebersihan dan keselamatan makanan terus diberi keutamaan bagi memastikan juadah yang dijual selamat untuk dimakan.

Menurut beliau, sehingga 24 Februari, hanya satu aduan berkaitan isu kebersihan diterima dan siasatan lanjut telah dijalankan.

“Untuk tahun ini, sebanyak 808 gerai diperiksa oleh Jabatan Kesihatan dan kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan bersih, termasuk pematuhan penggunaan sarung tangan dan apron dengan markah sekitar 85 peratus pada tahap memuaskan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Ramadan, pengunjung diminta menyalurkan aduan secara terus kepada Jabatan Kesihatan Daerah sekiranya terdapat pengabaian aspek kebersihan dalam kalangan peniaga.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di tapak bazar Ramadan di Pontian.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kes tuberkulosis atau tibi di Johor masih terkawal.

Setakat ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) tambahan dikenakan kepada peniaga atau pengunjung bazar Ramadan.