fb fb fb fb fb

96 peratus daripada 3,847 kanak-kanak hilang berjaya ditemui

Foto/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Sebanyak 96 peratus daripada 3,847 kanak-kanak dilaporkan hilang berjaya ditemukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan kanak-kanak berusia 13 hingga 18 tahun yang dilaporkan hilang antara tahun 2020 hingga September 2024.

Tambahnya, secara purata sebanyak 770 kes dalam setahun direkodkan membabitkan kanak-kanak hilang.

"Puratanya 770 kes setahun, kurang lebih 2 kes sehari. Yang menariknya adalah daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang melibatkan umur 18 ke bawah ini, sebanyak 96 peratus berjaya dijumpai pihak PDRM. Ini bermakna, bagi setiap 100 kanak-kanak yang hilang, 96 orang berjaya kita selamatkan. Sementara dimaklumkan, yang meninggal dunia ketika ditemui adalah kira-kira 10 orang. Manakala yang lain diklasifikasikan sebagai masih hilang," katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib berhubung kes kehilangan kanak-kanak, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama Saifuddin turut menyeru orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku kes kehilangan kanak-kanak.

Sementara itu bagi tempoh Januari hingga Oktober, sebanyak 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani peningkatan kes kanak-kanak hilang selain menyediakan perkhidmatan sokongan moral dan psikologi turut diberikan kepada keluarga terlibat kes tersebut.

"Tahun ini sahaja kita buat 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak. Kalau sudah berlaku insiden hilang, kita segera aktifkan. Paling penting apabila lapor hilang, yang pertama hebahkan seluas mungkin.

"Kita gunakan Nur Alert, kita masukkan dalam portal kanak-kanak hilang setelah kita minta izin ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan kita luaskan pencarian.

"Apabila kita jumpa, barulah profil kanak-kanak ini dan keluarganya. Selepas insiden kita temui, biasanya kita berikan sokongan terutama dari segi moral dan psikologi kepada keluarga yang terlibat," katanya.

Trainee